Wahai Yang Hidup dan Yang Berdiri sendiri! Dengan rahmatMU aku memohon bantuan. Perbaikilah urusan ku semuanya, dan janganlah Kau serahkan urusanku kepada diriku sendiri walau sekelip mata pun. Dan jangan biarkan aku melampaui batas sehingga melupakan aku pada cinta hakiki dan rindu abadi hanya kepadaMu, Ya Allah.. Amiin..

kiblat hati..

Jika aku pandai melukis, akan ku lakarkan mentari keemasan itu
Yang tidak pernah gagal berada di sana setiap hari di waktu yang sama
Bulat bundar, bersedia untuk beradu untuk sekian kalinya di hujung ufuk
Asyiknya mata memandang

Jika aku pandai bermadah, akan ku nukilkan kata nan sakti
Seperti karangan mutiara putih dari dasar lautan yang paling dalam
Awan keperakan itu bergandingan sang mentari yang merah jingga
Leka aku melihat alam

Jika aku pandai berlagu, akan ku nyanyikan irama merdu
Meriwayatkan keindahan alam yang tiada tolok bandingnya
Si bumbung langit yang dijunjung tidak pernah jemu direnung
Adakalanya biru jernih, adakalanya dihiasi gumpalan awan berarak
Terpesona aku ciptaan Tuhan

Jika aku pandai berperi, akan ku khabarkan detik yang menakjubkan ini
Bangunan kaca dibias sinar jingga dan diselimuti bayang gelap, berlainan sisi
Alunan bukit bukau semakin kelam ditelan kesuraman
Sang Mentari sudah masuk ke peraduan,
Meninggalkan segaris cahaya di kaki langit

Sebentar lagi muazzin akan melantunkan suaranya

Ku hamparkan sejadah burukku di celah-celah
waktu yang tidak pernah cukup untuk diburu,
masa yang tidak pernah menoleh ke belakang walau sekilas,
saat yang tidak pernah berhenti walau sedetik.

Ku halakan wajah ke ufuk sana tegak pasrah menyerah akan diri yang penuh noda,
kekhilafan yang aku sedar atau pun tidak,
keterlanjuran yang sengaja atau pun tidak,
keengkaran yang terang atau pun tidak.

Ku hadapkan hatiku kepadaNya,
sesungguh-sungguhnya,
sejujur-jujurnya,
setulus-tulusnya.

Aku berusaha
menjernihkan minda,
melapangkan dada,
membebaskan rasa.

Demi seteguk
kasihNya,
redhaNya,
rahmatNya,
keampunanNya.

Ku ratibkan kalimahNya yang penuh hikmah.
Ku lafazkan pengakuan demi pengakuan,ikrar dan janji,
menghitung dan memperingati diri.

Aku bertafakur menghening sepi mentauhidkanNya.
Hanya kepadaNya.
Hanya keranaNya.

Dialah yang berhak disembah.
Dialah tempat mengadu untung.
Dialah tempat berpaut harap.
Dialah pemberi di kala kebutuhan.
Dialah pelindung di kala kecelakaan.

Untuk seketika, ku hambat pergi segala keributan duniawi
yang menambat aku ke tiang darjat,
yang merantai aku ke lantai harta,
yang memaku aku ke dinding pangkat,
yang mengurung aku di penjara nafsu.

Atas nama tanggungjawab,
atas nama keperluan,
atas nama keinginan,
atas nama impian,
atas nama bebanan,

Yang penuh dengan kepalsuan dan kepura-puraan.
Ku rapatkan dahi ke bumi
agar keinsafan sentiasa di hati
kerana di situlah letaknya diri
bahawa sujudku untuk Ilahi.

Kerana nadi yang berdenyut ini adalah ihsan dariNya.
Kerana nasi yang disuap adalah rezeki dariNya.
Kerana udara yang disedut adalah nikmat dariNya.

Kerana inilah

santapan jiwaku,
tuntutan batinku,
pakaian rohaniku.

Dan, kerana inilah aku

masih teguh kukuh,
sabar menggenggam iman,
tegar mempertahankan takwa.


::blogger.kalamyangkuasah::