|Jurnal V|
"Bangunlah..."
Aku tersedar apabila terdengar namaku dipanggil. Cahaya suria terik. Aku terpisat-pisat menyapu mata yang berkunang. Siapa itu? Aku terlihat segugus bayang, tetapi tidak pasti wajahnya. Kemudian hilang.
"Bangun..sudah sampai waktu untuk beredar dari pulau ini."
Aku kaget, suara itu bagai terus ke lubuk hati. Mataku membulat dan memandang serata. Tiada seorang pun di sisiku. Pantas aku berlari ke gigi air. Membasuh muka, membuang segala kesan-kesan mimpi semalam. Aku mendongak. Kemudian kembali mencari arah datangnya suara misteri itu. Siapakah dia?
"Aku adalah puteri bayang-bayang.."
Sekali lagi suara itu terus ke hati. Aku lari ke atas pasir kering, mencari suara misteri itu.
Engkau di mana puteri bayang-bayang? Aku mahu melihatmu.
"Aku cuma suatu bayangan, engkau tidak mungkin melihatku. Engkau hanya boleh mendengar suaraku."
Kenapa engkau ke mari? Adakah engkau juga sunyi sepertiku?
"Tidak.Aku tidak sunyi, aku datang kerana engkau memanggilku. Melalui sajak yang engkau bacakan semalam. Di tepi pantai ini, di bawah bintang-bintang semalam. Di saat engkau berbicara tentang kenangan. Ketika engkau putuskan mahu mengotakan segala janji. Ketika itu aku hadir."
Aku yang memanggilmu? Alangkah bagusnya, aku sudah punya teman sekarang. Tetapi, untuk apa engkau ke mari?
"Untuk mengarahmu beredar dari sini. Selepas ini akan ada bahtera yang berlabuh. Bahtera yang akan membawamu ke pulau kehidupan."
Aku pasti akan menaikinya, tuan puteri tidak perlu memaksaku.
"Sudah ramai aku menemui orang sepertimu. Mereka singgah di pulau sepi, mereka enggan untuk pergi. Aku yakin engkau juga begitu, sehingga aku terpaksa mengarah supaya engkau beredar."
Engkau juga menamakan ini pulau sepi? Sungguh kebetulan. Tidak mungkin ada orang sanggup hidup di sini selamanya. Termasuk aku.
"Siapa kata? Engkau belum melewati seluruh wajah pulau ini. Engkau tidak singgah di semua penjuru. Engkau tidak tahu bahawa di balik pulau ini, masih ada orang sepertimu. Mereka adalah orang yang tidak mahu kenangan mereka diganggu."
Sampai begitu sekali mereka itu?
"Hati seperti lautan dalam, tidak tahu dasarnya. Luas, tidak tahu sempadannya. Jika tersilap karam, bimbang tidak menemui jalan pulang."
Tidak mengapalah, aku pasti akan pergi. Tuan Puteri jangan bimbang.
"Esok, waktu mentari tegak. Bergegaslah ke arah Timur. Di sana akan menanti sebuah bahtera.Engkau harus menaikinya. Harus! "
Diam. Puteri bayang-bayangsudah menghilang. Aku memanggilnya berkali-kali, tetapi tiada jawapan. Aku kembali sunyi.
No comments:
Post a Comment