| Jurnal 3 |
Di pulau sepi..
Rutinku masih sama, setiap kali siang datang, aku menanti di gigi air. Setiap kali malam menjelma, aku terbaring di bawah langit. Siang dan malam berganti, aku terus menanti. Aku tidak punya jam di tangan, juga tidak punya kalendar di sisi.
Rambutku sudah panjang, gondrong di belakang dan berjuntai di depan. Seingat aku sudah lebih tiga purnama berlalu. Barangkali sudah sejuta saat berlalu atau sejuta detik. Mungkin sudah seratus hari atau seratus malam. Aku hilang perkiraan. Yang penting, aku masih bernafas. Tiada apa yang pasti dalam ingatanku kecuali sebuah janji. Janji untuk terus mengingatinya.
+Siapa dia yang mahu dikenang itu? Siapakah dia yang ingin aku ikat ketat di penjuru hati?
-Dia itu seorang yang hadir bersama harapan. Mahu bersama, mahu duduk di sisiku selamanya.
+Apakah yang membuatakan aku menganggapnya istimewa? Sehingga sanggup menyimpan janji yang tidak mungkin dikotakan?
-Tidak, itu bukan janji kosong. Dia istimewa di sisiku bukan kerana sekeping wajah miliknya. Aku tidak sekacak Yusuf dan dia bukan secantik Zulaikha. Bukan kerana dia seorang puteri. Tiada kaitan dengannya, tetapi adalah disebabkan diriku. Aku yang menganggapnya istimewa, aku yang menyukainya.
+Hanya begitu sahaja? Tanpa ada sebab yang munasabah?
-Ya! Hanya kerana aku semata-mata menyukainya. Cinta tidak memerlukan asbab.
+Jadi bagaimana dengan penantianku di pulau ini? Apabila aku sudah menaiki sampan lain, barangkali buah-buah kenangan ini akan hilang. Tidak muncul lagi.
-Itu rahsia hidupku. Aku mungkin berlayar ke pulau lain. Tetapi kisahku di pulau sepi ini tidak akan dilupakan. Kenangan itu akan hadir dalam degup jantungku. Ia akan terhenti dengan terputusnya nafasku.
+Bererti mahu menyimpannya? Mahu terus mengenangnya?
-Ya,aku mahu terus menyimpannya. Setiap kenangan, setiap bicara, setiap kisah dan setiap detik. Kerana itulah janji kami.
+Jadi janji itu akan dikotakan?
-Pasti! Pasti akan dikotakan. Walaupun terpaksa menaiki sampan lain. Biarpun hidup di pulau lain. Tetapi, janji itu akan kubawa bersama. Sampai ke mati.
+Itukah yang dinamakan setia? Atau suatu kegilaan?
-Dua-dua..Gila dalam setia..
No comments:
Post a Comment